Politik Moral Al-Ghazali Lebih Berhak Dirunuti (Bahagian 1)
Mengapa Masih Berpolitik Cara Machivellian?
Bagi sesetengah pandangan, politik moral adalah antitesis kepada kecenderungan amalan politik Machivellian yang didakwa begitu berleluasa dalam kancah politik negara selain telah menjadi pegangan dan budaya akrab politikus yang juga berperanan sebagai penggubal dasar negara di Malaysia.
Sementara di pihak lain pula, politik moral merupakan struktur konkrit kepada terbentuknya sistem pemerintahan yang telus (good governance), bertanggungjawab, mementingkan rakyat awam dan sekaligus sebagai asas untuk menolak politik wang, rasuah, penyelewengan kuasa dan sebarang tindakan negatif seperti ajaran dari fahaman Machivellian.
Bukankah, bentuk politik moral yang digagaskan al Ghazali itu secara tegas menyatakan kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara.
Justeru, bukankah wajar mana-mana ahli politik tidak terus berpegang dan mengamalkan lagi politik ala Machiavellianisme di pentas politik Malaysia apatah lagi dalam mentadbir dan menguruskan rakyat dan negara ini.
Bukankah “Machiavellianisme” sendiri bermaksud orang yang suka mengambil kesempatan, bersifat licik dan pandai menipu?
Amat malang apabila pemain politik negara pada masa kini lebih cenderung mengikut aliran pemikiran dan doktrin seorang tokoh politik barat Niccolo Machiavelli yang mana segala kejahatan dihalalkan untuk mencapai sebarang matlamat politik.
Antara ajaran fahaman Machiavelli yang popular ialah seseorang pemimpin perlu memungkiri janjinya jika berpotensi memberikan keburukan kepada dirinya dan perkara ini satu kejahatan yang dihalalkan untuk kuasa politik.
Amalan kebiasaan politik sebegini banyak diserap oleh kebanyakan ahli politik yang mana perkara tersebut boleh dilihat bukan sahaja ketika melakukan sebarang kempen Pilihan Raya tetapi juga dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan itu sendiri.
Betapa isu seperti kos sara hidup, pencerobohan tanah, kenaikan harga barang, keruntuhan akhlak dan seumpamanya tidak ditangani dengan “bijak” sebaliknya hanya sekadar menggunakan kaedah retorik politik.
Ajaran yang dibawa dalam fahaman Niccolo Machiavelli ini hanya perhambaan terhadap rakyat demi mencapai matlamat kuasa politik. Kalau adapun usaha ke arah tindakan membantu ia tidak lebih dari sekadar sandiwara semasa dengan tujuan mengalih perhatian.
Jelas sekali, amalan politik “Machiavellianisme” wajar dihentikan segera oleh setiap ahli politik terutamanya mereka yang beragama Islam di negara ini kerana selain memakan diri sendiri ia dilihat hanya berupaya memburukkan lagi masalah negara.
bersambung…